Bila Air Ketuban Pecah



Kita sedia maklum fungsi air ketuban adalah untuk melindungi bayi dalam kandungan. Apabila air ketuban pecah, ia adalah petunjuk ibu semakin hampir untuk bersalin.

Air ketuban pecah awal juga boleh terjadi biarpun ia jarang berlaku. Ia boleh pecah pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Apabila ibu hamil mengalami pecah air ketuban awal di tempat awam, usah panik!

Oleh itu penting bagi ibu hamil untuk mengetahui ciri-ciri air ketuban supaya mereka bersedia jika air ketuban pecah berlaku pada diri sendiri.

Sebenarnya apabila ketuban pecah dan air mengalir keluar, ia tidak akan mengalir dengan banyak dan laju. Biasanya ia dimulakan dengan sedikit ‘kebocoran’ dan mengalir sedikit demi sedikit kerana kepala bayi yang sudah berada di laluan akhir seolah-olah menghalang pengalirannya lebih laju.

Apabila ibu menghadapi situasi begini, segera hubungi doktor anda untuk mendapatkan nasihat seterusnya. Justeru itu, penting bagi ibu hamil menyimpan nombor telefon doktor sakit puan yang memeriksa anda. Jika masalah air ketuban pecah awal atau kebocoran berlaku tidak ditangani segera, ia boleh menyebabkan jangkitan kuman berlaku seterusnya memberi kemudaratan kepada bayi dalam kandungan.